Nombor pendaftaran siri ANU merekodkan kutipan lebih RM2.36 juta hasil keseluruhan bidaan yang dibuka dari 19 Disember hingga 23 Disember lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, rekod bidaan harga tertinggi melibatkan ANU 1 dengan harga RM269,000.
“Siri ANU mendapat sambutan yang baik daripada pembida-pembida dengan jumlah keseluruhan penyertaan 1,768 pembida.
“Bagaimanapun rekod itu masih belum dapat menandingi siri AMG yang mendahului di Perak ini dengan hasil bidaan lebih RM6 juta,” katanya.
Sebelum ini bidaan nombor pendaftaran ANU mendapat perhatian kerana perkataan itu adalah kata ganti nama yang digunakan ketika merujuk kepada individu lain.
Dalam percakapan harian, istilah anu bagi sesetengah individu juga merujuk kepada kemaluan.
Media melaporkan, beberapa siri nombor pendaftaran Perak yang bermula dengan huruf A menjadi perhatian kerana ia boleh membentuk pelbagai perkataan dalam perbualan harian.
Sebelum ini, nombor pendaftaran kenderaan ‘AKU’ menjadi nombor pendaftaran paling popular di Perak sehingga mengumpul nilai bidaan mencecah jutaan ringgit.