Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 5,433 saman dan menyita 466 kenderaan menerusi Op Ambang Tahun Baharu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, seramai 2,556 anggota terlibat dalam operasi selama lima jam bermula jam 12.01 tengah malam, Rabu itu.
“Pihak JSPT melaksanakan 175 operasi dengan 11,157 kenderaan diperiksa. Pemeriksaan meliputi 3,736 kereta, 5,688 motosikal dan 1,733 lagi lain lain kenderaan.
“Dalam operasi ini, sebanyak 5,433 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas selain 36 tangkapan iaitu 33 orang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, dua orang di bawah Kanun Keseksaan dan seorang lagi mengikut tindakan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya
Mohd Yusri berkata, JSPT menyita 466 kenderaan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, berdasarkan pecahan sitaan melibatkan 398 motosikal, 66 unit kereta serta dua lagi lain-lain kenderaan.
“Bagi motosikal, sitaan dibuat kerana kesalahan ubah suai yang ekstrem termasuklah ekzos dan tiada brek belakang,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, tiga kesalahan tertinggi yang dikesan ialah memandu melebihi had kelajuan iaitu 1,021 saman, menggunakan lorong kecemasan (953 saman) dan tidak mematuhi peraturan lampu isyarat merah sebanyak 433 saman.
ARTIKEL LAIN