Walaupun kita sudah dihidangkan dengan beberapa filem sains fiksyen merentas masa (seperti contoh Back to The Future), pada hakikatnya manusia masih lagi belum mampu untuk melakukan perkara tersebut.
Namun, para penumpang sebuah penerbangan Cathay Pacific dikatakan mempunyai peluang untuk pergi ke masa lalu dan menyambut tahun baharu sebanyak dua kali, menurut laporan AviationSource News.
Pesawat itu dikatakan berlepas dari Hong Kong pada tahun 2025 dan akan tiba di Los Angeles pada 31 Disember 2024.
Penerbangan Cathay Pacific CX880 itu melintasi Garis Tarikh Antarabangsa, iaitu sempadan di Lautan Pasifik yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar di mana hari bertukar.
Dengan melintasi garisan tersebut, penumpang sesebuah penerbangan akan ‘kembali ke masa lalu‘ atau menambah satu hari ke dalam perjalanan mereka.
Fenomena ini digelar sebagai kesan garis tarikh (date line effect) yang akan berlaku apabila sesebuah penerbangan melintasi Garis Tarikh Antarabangsa.
Garisan ini mula wujud pada tahun 1884 bagi memisahkan antara dua tarikh kalendar berturut-turut.