Nissan Rogue dan X-Trail : Dua SUV, satu warisan inovasi

73


Populariti kenderaan utiliti sukan (SUV) pada hari ini tidak berlaku secara tiba-tiba.

Pengeluar kereta sudah puluhan tahun menawarkan model berkenaan sebelum mendapat perhatian ramai.  

Popularitinya yang semakin meningkat, model sedan, hatchback dan coupe diketepikan bagi memberi laluan kepada SUV segmen A, B, C dan D sehingga bertindih di antara satu sama lain.





Sebelum popular dengan gelaran SUV, pasaran memanggilnya sebagai jip, pacuan empat roda atau ‘powil’. 

Cebisan panggilan tersebut boleh dilihat pada Suzuki Jimny dan Toyota Land Cruiser baharu.

NISSAN ROGUE MODEL TERAWAL GAYA BANDAR 

Trend ini bukan satu kesalahan kerana pengeluar hanya menawarkan apa yang dimahukan pengguna.

Di antara model terawal yang membawa gaya bandar adalah Nissan Rogue. Sebelum berkongsi dengan model X-Trail hari ini, Rogue tampil dengan rekaan urban dan jauh berbeza daripada konsep utilitarian. 

Qashqai di Eropah turut mencetus fenomena namun kedua-duanya berbeza.

Rogue diperkenal di Amerika Syarikat (AS) pada 2007 sebagai model tahun 2008 dan berbeza daripada SUV kecil pada masa itu.

Rogue dibangunkan dari pelantar unibody (badan bersama pelantar). Binaan itu mempunyai kelebihan dari segi dinamika pemanduan acah kereta sedan berbanding SUV jenis badan atas kerangka (body-on-frame).

Pengurangan berat juga menjadikan Rogue lebih jimat bahan api berbanding SUV tradisional.

Rogue generasi pertama dengan pantas menjadi salah satu model terlaris Nissan dan bukti kepada permintaan yang semakin meningkat bagi segmen baharu yang mesra keluarga dan kemudian dipanggil crossover.

Namun semuanya tidak mudah. Semasa pembangunan Rogue bermula bertahun sebelum itu, para pereka menghadapi cabaran tentang bagaimana rupa sebenar Rogue sepatutnya.

Di antara individu yang terlibat di dalam projek Rogue adalah Hiren Patel yang kini menduduki jawatan Pengurus Kanan, Reka Bentuk Luaran, Nissan Design America (NDA).

Pada 2003, beliau masih lagi seorang pereka baharu yang mula berkhidmat bersama Nissan dua tahun sebelum itu.

Menurut beliau, projek ini sukar kerana segmen crossover belum berkembang sepenuhnya dan mereka perlu membuat keputusan tentang arah yang perlu diambil.

Para pereka berbincang atau berhujah sesama sendiri sama ada Rogue patut lebih mirip sedan, SUV atau minivan.

Keputusan dibuat dan mereka memilih reka bentuk moden yang menggabungkan ciri-ciri seperti SUV di luar dengan dalaman yang selesa seperti kereta.

TUMPUAN KEGUNAAN KELUARGA MUDA

Menurut Presiden Kanan, Reka Bentuk Global Nissan, Alfonso Albaisa mereka tidak mahu menjadikannya seperti sebuah kotak dan pelanggan mahukan sesuatu yang sofistikated dan bergaya.

Sasaran pelanggan Rogue adalah keluarga muda dengan satu atau dua orang anak.

Menurut Hiren Patel, semasa projek ini dibangunkan terdapat perubahan citarasa di mana keluarga muda lebih vokal tentang keperluan mereka.

Bagi memenuhi keperluan tersebut, para pereka telah menjalankan pelbagai ujian ketat.

Di antaranya memuatkan dan menurunkan barang dari kerusi belakang bagi memastikan sama ada senang untuk kanak-kanak masuk dan keluar.

Mereka juga berkunjung ke IKEA dan Babies R Us untuk memerhatikan bagaimana keluarga muda berinteraksi. 

Satu lagi yang menarik adalah penggunaan maksimum ruang kargo yang mana para pereka memastikannya dapat digunakan sebagai tempat menukar lampin.  

Kakitangan Nissan juga kerap berhubung dengan ibu bapa bagi membincangkan keperluan mereka.

Untuk bahagian dalaman, pereka Nissan mahukannya supaya dekat dengan pengguna yang beralih dari sedan atau coupé dan menurut Alfonso Albaisa, dalaman ala kokpit menjadi pilihan.

Konsep tersebut dikekalkan pada Rogue generasi kedua yang diperkenalkan pada 2013 (model 2014).

DI MALAYSIA ROGUE DIKENALI SEBAGAI X-TRAIL

Di negara kita, Rogue dikenali sebagai X-Trail (T32) dan masih ditawarkan sehingga kini.

Rogue generasi kedua berbeza dan konsepnya berkembang kepada keluarga dengan anak yang lebih berusia.

Rogue sekali lagi mencetus kejayaan dan menjadi model Nissan terlaris di AS buat kali pertama pada 2016.

Apabila memasuki generasi ketiga, para pereka mempunyai tugas berat seperti generasi pertama dan perlu menghasilkan sesuatu yang segar dan mengujakan dan pada masa sama menarik kepada pelbagai kategori pemandu.

Kali ini mereka menumpukan pada pendekatan berorientasikan teknologi bahagian luar dan dalam termasuk ciri-ciri yang menonjol.

Walaupun nampak besar berbanding generasi kedua, Rogue baharu 1.5 inci lebih pendek dan 0.2 inci lebih rendah.

Rogue generasi kedua secara majoritinya direka di Jepun dan model terbaru direka di NDA dan diperkenal pada 2020 (model 2021). Model rupa baharu menyusul 2023.

Sebelum itu Rogue (2022) menerima enjin 1.5 liter VC-Turbo tiga silinder dan menggantikan enjin 2.5 liter. Bergantung pada pasaran, X-Trail turut menggunakan rangkaian kuasa canggih e-Power. 

Kepada yang tertanya, bila pula giliran Malaysia setelah lama di pasaran?. Untuk makluman, Edaran Tan Chong Motor sudah membawa X-Trail ke Kuala Lumpur pada Disember 2024. X-Trail dibalut pelekat dan tertera perkataan e-Power.

Rogue atau X-Trail, Amerika Syarikat atau Malaysia, SUV ini mempunyai peminat tersendiri dengan sejarahnya yang panjang.

GALERI



APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here