Tayar pecah, pemandu lori Hino maut

206


Seorang pemandu lori maut apabila kenderaannya hilang kawalan akibat tayar lori pecah sebelum bertembung dengan sebuah lori yang lain di Jalan Titi Karangan-Baling, Kulim, pada Khamis.

Kejadian yang berlaku pada jam 10.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohd Rosidan Omar, 38, berasal dari Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. 





Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Zulkifli Azizan berkata, seorang lagi pemandu lori berusia 41 tahun mengalami kecederaan pada badan dan tangan kanan, telah dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, kedua-dua mangsa menaiki lori jenis Hino dan bertembung dari arah bertentangan.

“Mangsa yang berusia 38 tahun memandu dari arah Desa Aman menghala ke Kulim sementara mangsa yang cedera sedang dalam perjalanan dari arah bertentangan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar hadapan sebelah kanan lori pecah menyebabkannya hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah lori lain,” katanya.

Kemalangan turut menyebabkan kesesakan sehingga kira-kira 5km dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

ARTIKEL LAIN

Masih wujud pemandu lori degil guna tayar botak



APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here