Nama Toyota Hilux sememangnya tidak memerlukan pengenalan, rata-rata kita amat mengenali model ini sebagai trak pikap yang popular dan berkebolehan.
Namun, tidak dapat tidak Toyota perlu menggantikan Hilux yang sudah terlalu berusia dengan model generasi baharu.
Berdasarkan penemuan di Department of Intellectual Property (DIP) Thailand, Toyota telah mendaftarkan tanda dagang “Hilux Travo” pada 23 Disember 2024.
Kemunculan nama “Travo” itu sedikit sebanyak memberikan petunjuk ia bakal digunakan pada Hilux generasi baharu, selepas nama “Revo” yang wujud pada Hilux gen-8 dan “Vigo” pada Hilux gen-7.
Apa yang kita boleh jangkakan pada Hilux Travo ini ialah penampilan luaran yang lebih moden, diikuti dengan ruang kabin yang dilengkapi pelbagai teknologi dan kualiti bahan yang lebih baik.
Toyota sebelum ini pernah memperlihatkan prototaip trak pikap Hilux yang dilengkapi dengan trenkuasa seperti sel bahan api hidrogen (FCEV), enjin diesel hibrid ringan, dan Hilux berkuasa elektrik sepenuh masa.
Toyota turut mengesahkan Hilux EV akan mula diproduksikan pada akhir tahun 2025, besar kemungkinan menggunakan asas model generasi baharu.
Generasi kelapan Hilux mula diperkenalkan pada tahun 2015 dan menjalani beberapa siri kemas kini pada tahun 2017, 2020 dan paling terkini tahun 2024.