Puspakom tidak terima tayar yang jadi punca tragedi 7 maut

1110


Puspakom memuktamadkan laporan siasatan berkaitan isu kenderaan yang terlibat dalam kejadian tayar tertanggal sehingga mengorbankan tujuh nyawa di Melaka, bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata pihaknya sudah menyerahkan hasil pemeriksaan itu kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) hari ini untuk tindakan susulan.

Tujuh termasuk lima sekeluarga maut apabila Toyota Estima dinaiki terlibat dalam kemalangan lima kenderaan termasuk sebuah treler dan bas pelancong bulan lalu.

“Laporan hanya merangkumi pemeriksaan kenderaan itu dan tayar yang tertanggal itu tidak dapat diperiksa kerana Puspakom tidak jumpa dan menerima tayar tersebut. 





“Laporan yang Puspakom hantar kepada MIROS itu mengikut siasatan kami, punca berlaku kejadian tayar tertanggal daripada gandarnya.

“Gandar itu ada masalah, kami musykil sebab usianya baru setahun. Kita berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan seterusnya,” katanya semalam. 

Tambah beliau, Puspakom akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan usaha pemantauan dan penguatkuasaan diteruskan dengan lebih berkesan. 

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar nahas lima kenderaan yang mengorbankan tujuh nyawa di Melaka, bulan lalu.

Beliau juga mengarahkan JPJ menerusi Bahagian Penguatkuasaan juga mengambil tindakan susulan sewajarnya terhadap syarikat lori serta bas yang terlibat dalam kemalangan itu.

Dalam perkembangan lain katanya, kira-kira 8 peratus kenderaan berat gagal pemeriksaan di Puspakom setiap tahun daripada purata 2.8 juta pemeriksaan dilakukan.

“Kira-kira purata 220,000 kenderaan (8 peratus) kenderaan berat gagal pemeriksaan setiap tahun. Brek merupakan antara masalah besar dan utama, manakala kedua ialah keadaan tayar serta ketiga adalah sistem kenderaan itu sendiri.

“Bagi keadaan tayar ia tidak semestinya tayar celup sebab apabila kenderaan itu digunakan berkali-kali, tayar itu akan mempunyai masalah yang sendiri,” katanya.

ARTIKEL LAIN

Bas langgar tayar lori tercabut punca tujuh maut di lebuh raya PLUS

 
 


APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here