Sempena majlis penutup Toyota Gazoo Racing Musim Ketujuh, UMW Toyota Motor melancarkan GR Yaris 2025 di Litar Antarabangsa Sepang.
Jentera itu adalah bukti dedikasi Toyota Gazoo Racing dalam menghidupkan DNA perlumbaan pada sebuah kereta jalanan.
Ia menggunakan enjin pengecas turbo G16E-GTS 1.6-liter yang menyalurkan 300PS dan 400Nm tork, memberikan pecutan pantas dan prestasi dinamik.
Dipadankan transmisi manual 6-kelajuan tradisional untuk menyampaikan pengalaman pemanduan yang terbaik, sementara sistem GR-Four AWD memberikan kawalan luar biasa, hasil inspirasi dari kejayaan Toyota dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC).
Teknologi dan Rekaan yang Canggih
Reka bentuk GR Yaris 2025 mengutamakan aerodinamik dan penyejukan. Functional MATRIX Ver.2 memastikan aliran udara optimum ke enjin dan sistem brek, manakala sub-radiator dan sistem semburan intercooler memastikan prestasi kekal stabil walaupun di bawah beban tinggi.
Suspensi yang dinaik taraf memberikan kestabilan dan kawalan yang agresif, menjadikannya tangkas di selekoh. Bahagian belakang dilengkapi dengan diffuser, ekzos baharu, dan sistem pencahayaan moden, mencerminkan postur yang lebih lebar dan rendah untuk daya tarikan maksimum.
Kabin Berorientasikan Pemandu
Bahagian dalaman GR Yaris adalah gabungan ergonomik dan teknologi tinggi, dengan paparan GR Full TFT 12.3 inci yang memberikan semua maklumat penting secara intuitif.
Kedudukan memandu yang lebih rendah meningkatkan pengalaman pemanduan, manakala elemen seperti tali pinggang merah dan konsol sisi yang lebih besar dengan port USB menambahkan elemen praktikaliti dan gaya.
Pilihan dan Harga
GR Yaris 2025 tersedia dalam empat warna, termasuk warna baharu Precious Metal, yang menambahkan sentuhan eksklusif pada rekaannya. Harga bermula dari RM315,600, menjadikannya sebuah kereta yang menarik bagi peminat prestasi sejati.
GR Yaris 2025 bukan sekadar sebuah kereta, ia adalah perwujudan semangat perlumbaan yang sesuai untuk pemanduan harian.