Seorang anggota wanita Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) cedera di bahagian muka apabila ambulans dinaiki berlanggar dengan sebuah lori kren dalam kejadian di Jalan Garuda, Batu 9, Kebun Baru, Telok Panglima Garang, Shah Alam, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati kejadian 4.15 petang itu melibatkan sebuah ambulans APM dengan sebuah lori kren.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan ini berlaku apabila lori kren yang dipandu dari Jalan Merak menuju ke arah Klang, berhenti di simpang tiga Jalan Garuda.
“Semasa lori kren sedang menunggu untuk keluar simpang, datang ambulans APM dari arah Rimbayu menuju ke Sijangkang yang sedang bergerak terus lalu melanggar bahagian besi kren di atas lori terbabit yang terjulur ke hadapan di laluan ambulans APM.
“Akibat perlanggaran itu, seorang penumpang iaitu anggota wanita APM, berusia 20-an, yang duduk di bahagian belakang kenderaan itu mengalami kecederaan di bahagian muka dan kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Banting,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Akmalrizal berkata, kedua-dua pemandu kenderaan iaitu warga tempatan yang masing-masing berumur 40-an dan 50-an, tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Akibat kemalangan itu juga, ambulans APM mengalami kerosakan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Difahamkan, ambulans APM Selangor itu pulang dari lokasi satu kes di kawasan berhampiran.
Pada masa sama, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi balai polis berhampiran.