Nissan GT-R merupakan sebuah kereta sports idaman, dengan pakej rupa paras yang masih lagi garang walaupun sudah berusia, dan kuasa enjin yang sangat bertenaga.
Namun, apa pula kaitan antara Nissan GT-R dan Isuzu? Pasti anda akan tergaru-garu kepala yang tidak gatal itu.
Perkara ini diutarakan sendiri oleh seorang pengguna laman mikroblog X, @trucknakanohito yang mendakwa 80 peratus pasukan pembangun Nissan GT-R datang daripada divisyen kenderaan penumpang Isuzu!
日産のGT-R(R35)って水野氏とゴーン氏の当時の最強タッグで生まれたって話は有名だけど、実は開発チームの約8割がいすゞの元乗用車部隊出身だった事を知ってましたか?いすゞ出身者は主にトランスミッションやサスペンションを担当していた。 pic.twitter.com/LGHBceZI4P
— 商用車メーカーの中の人 (@trucknakanohito) December 18, 2024
Menurut ciapan tersebut, kebanyakan individu yang berasal daripada syarikat pengeluar trak itu terlibat di dalam pembangunan transmisi dan suspensi GT-R.
Sekali baca, mungkin sukar untuk kita mempercayai perkara tersebut.
Namun, Kazutoshi Mizuno, ketua jurutera pembangunan Nissan GT-R R35 mengesahkan perkara tersebut dalam satu ciapan balasan.
“Mereka bermula di dalam bahagian trak, dan bukannya bahagian kereta, jadi kesemua individu tersebut secara praktikalnya boleh dikatakan orang baharu di dalam aspek pembangunan supercar.
“Namun, menerusi kerja berpasukan yang kuat, keazaman yang tinggi untuk mencapai matlamat, serta latihan dan amalan berdasarkan hasil sistem pengukuran kenderaan yang komprehensif, kesemua ahli pasukan berjaya menjadi jurutera kelas dunia dalam tempoh 1.5 tahun sahaja.”
Tidak dapat dipastikan kenapa individu daripada Isuzu terpilih untuk menjayakan pembangunan Nissan GT-R. Adakah Nissan pada ketika itu mengalami masalah kekurangan tenaga pekerja?
Apa yang pasti, usaha dan kerja keras mereka berjaya membuahkan hasil yang sehingga kini menjadi buah mulut orang ramai.
Ketika pelancaran, Nissan GT-R mendapat respons positif untuk aspek pengendalian dan kotak gear yang mempunyai ciri penukaran pantas, di mana kedua-dua perkara ini masih lagi impresif setelah beberapa tahun berlalu.
Timbul satu persoalan, adakah pembangunan Nissan GT-R generasi berikutnya (R36) masih lagi perlu bergantung kepada khidmat jurutera Isuzu?