Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah berjaya mengutip saman tertunggak lebih RM43,000 hasil operasi khas kenderaan Thailand yang dilakukan sejak 17 Disember 2024.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata kutipan berkenaan sehingga 2 Januari lalu dan jumlah kutipan itu dijangka akan terus meningkat kerana operasi masih dijalankan.
Beliau berkata, ia bagi mengesan kenderaan asing yang memiliki saman tertunggak.
“Sejak 17 Disember hingga 31 Disember tahun lalu, pihaknya berjaya mengutip RM29,800 saman tertunggak dari kenderaan-kenderaan asing yang terlibat.
“Hanya dalam tempoh dua hari selepas itu iaitu pada 1 dan 2 Januari, operasi yang dilakukan itu berjaya mengutip tambahan RM14,100 lagi tunggakan saman.
“Dalam operasi ini, kami mengesan dan menahan kenderaan-kenderaan Thailand yang mempunyai saman aktif di laluan-laluan yang sering dilalui kenderaan dari negara itu,” katanya.
Pemandu diminta menyelesaikan semua saman-saman aktif sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan.
Sementara itu, Stien berkata, setakat 2 Januari lalu terdapat dua van disita selepas pemandu warga asing tersebut gagal menjelaskan tunggakan saman sebanyak RM18,000 dan RM17,700.
“Pada 2024, kami sudah pun menjalankan pemeriksaan terhadap 9,273 kenderaan dari Thailand berbanding cuma 1,974 pada 2023.
“Tindakan diambil terhadap pemandu warganegara asing itu juga meningkat kepada 749 berbanding 265 pada tahun sebelumnya.
“Antara kesalahan sering dilakukan adalah tiada Permit Edaran Antarabangsa (ICP), tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) serta isu-isu teknikal.
“Pada tahun lalu saja, sebanyak 1,070 kesalahan tiada ICP melibatkan kenderaan dari Thailand dikesan di negeri ini,” katanya
Sebelum ini, Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan memaklumkan pihak berkuasa itu akan menggerakkan Ops Tunggak di empat negeri sempadan Malaysia iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Perak bagi mengesan pemandu asing yang melanggar undang-undang termasuk saman tertunggak.
ARTIKEL LAIN
580 kenderaan pendaftaran asing isi minyak berulang kali sehari di sempadan Malaysia-Thailand