Tidak kurang yang mengkritik dan mempersoal penawaran kenderaan elektrik bateri (BEV) dari Toyota yang dilihat tidak semeriah pengeluar lain.
Di dalam pasaran tempatan misalnya, tiada BEV ditawarkan setakat ini. Bukan sahaja pasaran tempatan di negara lain juga begitu.
Bukan tiada, Toyota menawarkan BEV bZ4X di pasaran terpilih.
Anehnya di sebalik penawaran yang tidak meriah, Toyota memiliki kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV) Mirai dan Crown Sedan FCEV.
Di Amerika Syarikat (AS) yang merupakan pasaran kereta kedua terbesar dunia, bersepah model kenderaan elektrik hibrid (HEV) ditawarkan dari Prius sehingga pikap besar Tundra.
Maknanya apa? Toyota berpegang kepada strategi multipathway (pelbagai laluan) untuk elektrifikasi. Disebabkan itu, Toyota mempunyai pelbagai rangkaian kuasa elektrik.
Sebagai pengeluar kereta terbesar yang mempunyai produk dari hujung dunia ke hujung dunia, Toyota hanya bersikap realistik kerana perlu memenuhi citarasa dan keperluan pelbagai kategori pelanggan di serata dunia.
Di Australia nampaknya rencana Toyota menjadi. Pada 2024 pengedar Toyota membekalkan 118,081 unit HEV dan peningkatan 45,997 unit berbanding 2023 (jualan runcit) atau lonjakan 63.8 peratus!
Satu daripadanya adalah RAV4 yang diserahkan pada Disember 2024 dan kenderaan hibrid Toyota yang ke-500,000 di Australia.
Ini adalah kali pertama kereta hibrid melepasi jualan enam angka dari sebuah jenama malah keseluruhan industri dalam tempoh setahun.
Jualan Toyota pada 2024 adalah sebanyak 241,296 unit berbanding 238,983 pada 2023. Toyota kekal menguasai pasaran Australia dan tahun ke-22 berturut-turut.
HEV mewakili 49 peratus jualan Toyota pada 2024 dan rekod baharu selepas 33.5 peratus pada 2023.
RAV4 merupakan model HEV terlaris di Australia dan tahun kedua-dua berturut menjuarai carta.
Jualan pada 2024 sebanyak 55,902 unit atau lebih sekali ganda daripada 25,666 unit pada 2023.
Sebagai kenderaan hibrid terlaris, jualan keseluruhan RAV4 mencecah 167,776 unit dan dicapai dalam tempoh tidak sampai enam tahun.
RAV4 mewakili satu pertiga daripada 505,252 unit HEV Toyota sejak Prius tiba di Australia pada Oktober 2001.
Rekod jualan juga menunjukkan populariti hibrid yang semakin meningkat berbanding dahulu.
Data-data yang dikongsikan membuktikan keberkesanan Toyota di dalam strategi multipathway dan penawaran dilakukan secara bertahap.
Diharapkan pengguna tidak menunggu lama kerana jualan BEV dari jenama lain turut menghakis pasaran sedia ada termasuk pembinaan jenama dari pesaing yang semakin mengukuh.
Jualan kenderaan hibrid Toyota di Australia pada 2024:
- RAV4: 55,902
- Corolla: 19,460
- Camry: 14,475
- Kluger: 8,212
- Yaris Cross: 7,870
- Corolla Cross: 7,727
- C-HR: 2,824
- Yaris: 1,142
- Tundra (hibrid 1 motor):469
- Jumlah: 118,081 unit
Jualan keseluruhan kenderaan hibrid Toyota di Australia pada 2024:
- RAV4: 167,776
- Camry: 113,898
- Corolla: 100,394
- Kluger: 28,576
- Yaris Cross: 24,560
- Prius: 20,866
- Corolla Cross: 15,445
- C-HR: 14,918
- Prius c: 9,758
- Prius v: 5,342
- Yaris: 3,230
- Tundra: 489
- Jumlah: 505,252 unit