UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) mengakhiri 2024 dengan momentum jualan yang mantap, selepas kenderaan terjual sepanjang tahun melebihi 102,300 unit.
Ini menandakan 2024 sebagai tahun ketiga berturut-turut UMWT melepasi sasaran tahunan 100,000 unit. Ia adalah pencapaian penting yang belum pernah dicapai sebelum ini oleh syarikat tersebut.
Prestasi yang kuat ini menunjukkan daya tarikan berterusan Toyota di pasaran automotif Malaysia, dipacu oleh permintaan pengguna terhadap kenderaan yang menawarkan kecekapan, kebolehpercayaan, dan ciri keselamatan canggih.
Selain itu, UMWT turut mencatatkan 1.42 juta pelanggan kembali untuk perkhidmatan selepas jualan sepanjang 2024.
Sebagai jenama yang sudah menjadi sebahagian penting landskap automotif Malaysia selama beberapa dekad, Toyota terus memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem mobiliti negara melalui Pendekatan Pelbagai Laluan (Multi-Pathway Approach).
Dengan menawarkan rangkaian kenderaan yang pelbagai, Toyota memenuhi keperluan pengguna Malaysia yang semakin berkembang sambil menyokong peralihan negara ke arah mobiliti mampan.
Strategi ini, bersama komitmen Toyota terhadap kualiti, kebolehpercayaan, dan inovasi, sudah meningkatkan populariti model seperti Hilux, Vios, dan Corolla Cross, yang menjadi penyumbang utama kepada prestasi jualan Disember.
Memasuki tahun 2025, UMWT berhasrat untuk terus mencapai kecemerlangan dengan memastikan tawaran terbaik untuk pelanggan dan pemegang saham mereka.