Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan individu termasuk enam pegawai pemeriksa kenderaan disyaki terlibat sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di sekitar ibu negara, semalam.
Sumber berkata, semua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 12 tengah hari hingga 11 malam.
“Penahanan semua suspek itu adalah hasil soal siasat dijalankan oleh SPRM ke atas seorang ejen yang diserahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini.
“Bagaimanapun keenam-enam pegawai pemeriksa kenderaan terbabit sudah dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil,” katanya.
Sementara itu, dua lagi individu ditahan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 11 Januari depan.
Perintah reman berkenaan dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.
Menurutnya, setakat ini SPRM sudah menahan sembilan individu dan tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.