Sembilan cedera termasuk seorang parah dalam kemalangan lapan kenderaan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pusat Simpanan Kenderaan Berat, di Lebuh SPA (Sungai Udang-Paya Rumput- Ayer Keroh) pagi tadi.
Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Pisar Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan pada jam 10.28 pagi.
Katanya, seramai 30 anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Bukit Katil dan Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi dan tiba di tempat kemalangan 10 minit kemudian.
Menurutnya, sejurus tiba pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah bas, dua kenderaan pacuan empat roda, tiga lori, kereta Perodua Myvi dan Honda HRV.
“Terdapat 15 orang mangsa terdiri daripada 13 lelaki dan dua perempuan.
“Seorang daripada mereka parah iaitu pemandu bas manakala lapan lagi cedera ringan dan enam selamat.
“Semua mangsa sudah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan dengan kenderaan EMRS Jabatan Bomba Dan Penyelamat,” katanya.
Tinjauan di lokasi mendapati kejadian menyebabkan kesesakan sejauh beberapa kilometer di Lebuh Sas dari arah Ayer Keroh dengan lorong kanan dibuka untuk laluan kenderaan.