Enam pegawai pemeriksa kenderaan Puspakom yang disyaki terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat, digantung serta merta.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata pihaknya memandang serius kes berkenaan dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang salah laku khususnya melibatkan integriti operasi pemeriksaan kenderaan.
“Seperti yang sudah berkali-kali saya tegaskan, Puspakom tidak akan berkompromi terhadap sebarang jenayah rasuah. Sekiranya terdapat bukti kesalahan, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kakitangan yang terlibat dalam kegiatan seperti ini.
“Hal ini termasuklah mereka yang bersekongkol dengan sindiket dan menjalankan aktiviti meluluskan pemeriksaan kenderaan secara tidak sah,” katanya.
Tambah beliau, Puspakom sedang melancarkan siasatan dalaman sekali gus memberi jaminan sesiapa yang mempunyai kaitan dengan jenayah berkenaan akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.
“Puspakom tidak akan melindungi sesiapa pun yang berlibat dengan jenayah rasuah,” katanya.
ARTIKEL LAIN