Syarikat kerjasama Honda dan Sony, Afeela membuka tempahan bagi model EV pertama yang dikenali sebagai Afeela 1 untuk pasaran Amerika Syarikat dan Jepun.
Ia bakal dihantar kepada para pelanggan pada pertengahan tahun 2026, dengan harga jualan bermula dari $89,900 (RM404,775), menjadikannya pesaing terus kepada model Lucid Air dan Tesla Model S.
Sedan elektrik ini menjanjikan jarak gerak sejauh 483 km untuk sekali cas penuh, dengan pek bateri 91 kWh yang menyalurkan tenaga kepada motor elektrik berkuasa 483 hp.
Terdapat dua varian utama yang ditawarkan, iaitu varian asas Origin serta varian mercu Signature (US$102,900) dengan tambahan ciri seperti rim bersaiz 21 inci, sistem infohibur penumpang belakang, dan sistem kamera pemantauan berpusat.
Afeela 1 turut dilengkapi dengan langganan tiga tahun secara percuma untuk ciri eksklusif termasulah Afeela Intelligent Drive, Afeela Personal Agent dan kandungan hiburan dalam kenderaan.
Ciri Afeela Intelligent Drive yang disebutkan itu tadi merangkumi fungsi keselamatan pemandu termaju (ADAS) yang menggunakan unit kamera, radar, penderia ultrasonik dan juga LiDAR.
Terdapat tiga warna utama untuk sedan elektrik ini, iaitu Tidal Gray, Calm White dan Core Black.
Buat masa ini, tidak dapat dipastikan sama ada Afeela 1 ini bakal ditawarkan kepada pasaran lain selain Amerika Syarikat dan Jepun.