Honda muncul di acara CES 2025 di Las Vegas dengan mempertontonkan dua buah model prototaip 0 Series, terdiri daripada sedan berbentuk seakan supercar baji dan SUV saiz pertengahan.
Kedua-dua model sedan dan SUV ini akan dipasang di hab EV Honda yang terletak di Ohio, dengan tarikh pelancaran SUV dijadualkan untuk pasaran Amerika Syarikat awal tahun 2026, diikuti dengan model sedan.
SUV 0 Series
SUV 0 ini dibina berdasarkan model konsep Space Hub Minivan, namun dilengkapi dengan elemen crossover untuk penampilan boleh diterima oleh realiti.
Rekaan lampu berpiksel itu mengingatkan kita kepada Hyundai Ioniq, sementara logo Honda serba baharu itu diberikan elemen pencahayaan yang tersendiri.
Ruang kabin SUV 0 Series ini membawakan konfigurasi lima tempat duduk, lengkap dengan skrin paparan melintang penuh, serta paparan kamera sisi bagi menggantikan peranan cermin sisi fizikal.
Sedan 0 Series
0 Saloon mengekalkan reka bentuk seakan supercar baji seperti yang dipertontonkan menerusi model konsep yang terdahulu, namun dengan beberapa elemen sebagai petunjuk ia sedia untuk diproduksikan.
Pintu bukaan gull-wing telah digantikan dengan pintu konvensional yang lebih praktikal.
Namun apa yang pasti, rekaan muka hadapan 0 Saloon ini banyak mengingatkan kita kepada supercar Lamborghini Gallardo.
Bahagian belakang sedan sporti ini tidak diberikan sebarang bukaan tingkap, berkemungkinan besar bergantung sepenuhnya kepada skrin paparan pandang belakang digital.
Sama seperti model SUV, sedan ini juga turut dilengkapi dengan kamera sisi, serta susun atur ruang kabin yang hampir serupa, dan kekal minimalis.
Apa yang pasti, kedua-dua model ini akan membawakan sistem steer-by-wire yang mengintegrasikan sistem brek, suspensi dan juga roda stereng.
Sistem operasi untuk kedua-dua model ini akan menggunakan ASIMO OS, di mana nama tersebut diambil daripada robot humanoid terkenal Honda.
Dengan platform serba baharu yang dikongsi dengan EV buatan Sony, 0 Series membawakan beberapa kelebihan seperti pek bateri kompak, casis ringan serta jarak gerak yang lebih jauh (mampu cecah 483 km) menerusi perisian pengurusan bateri yang lebih pintar.
0 Series juga akan menawarkan keupayaan pemanduan autonomi Tahap 3 dengan fungsi “eyes-off” untuk kegunaan di lebuh raya.