Boon Siew Honda melancarkan Honda RS-X Winner serba baharu ke pasaran tempatan pada harga cadangan RM9,998 bagi tiga warna biru, hijau dan kelabu kusam.
Manakala pilihan warna kuning khas dijual pada harga cadangan RM10,298 seunit.
Selain tawaran warna dan grafik baharu, moped berkenaan menerima tujuh penambahbaikan agar kekal relevan di pasaran tempatan iaitu :
ENJIN 150CC
Enjin Honda RS-X Winner yang menerima penarafan 5-bintang Program MyMAP masih lagi menghasilkan output 11.8kW @ 9,000rpm dan tork 13.6Nm @ 7,000rpm bersama transmisi 6-kelajuan.
Ia kini menghasilkan pecutan mantap di setiap julat rpm enjin dengan rekaan kuasa luar biasa hasil penambahbaikan aliran minyak. Bahkan RS-X Winner turut mendapat pengiktirafan kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dengan penggunaan bahan api 50km seliter.
KLAC ASSIST DAN SLIPPER
Model 2025 ini didatangkan dengan Klac Assist dan Slipper yang mencegah gelinciran roda belakang dan membantu penunggang mengemudi dengan lebih baik melalui mekanisme klac lebih ringan. Antara kelebihannya termasuk:
- Kawalan lebih baik: Membantu penunggang mengekalkan kawalan dan kestabilan, terutama bila membrek lambat atau berlaku penurunan gear secara agresif.
- Penukaran gear lebih lancar: Membenarkan kawalan gelinciran plat klac semasa penurunan gear secara mendadak.
- Mengurangkan haus dan lusuh: Ia meminimumkan kehausan dan lusuh komponen motosikal sekaligus mengurangkan kos penyelenggaraan.
SISTEM KUNCI PINTAR
Dengan ciri peralatan ini, operasi menghidupkan enjin motosikal tidak lagi perlu menggunakan kunci fizikal.
Cukup hanya pusingkan tombol pencucuhan dan tekan punat penghidup. Ia juga boleh digunakan untuk mengunci bar hendal.
Selain itu, kunci pintar berkenaan dilengkapi dengan Sistem Penggera Anti-Kecurian dan Sistem Panggilan Balik.
PENGECAS USB
Operasi mengecas telefon menjadi lebih mudah dengan adanya port pengecas USB yang diletakkan di hendal sebelah kiri.
PERUBAHAN FASCIA DEPAN
Honda RS-X Winner memiliki rekaan maskulin yang lebih menonjol dengan garis badan bersambung dari depan hingga ke belakang yang menyumbang kepada imej lincah dan aerodinamik.
Secara penampilan, perubahan yang ketara adalah rekaan pada bahagian depan yang kini sedikit ‘bulat’ dan ‘gemuk’ berbanding versi sebelumnya.
Selain itu, moped itu juga didatangkan dengan suis hendal berasingan bagi memudahkan kawalan fungsi motosikal, termasuk lampu depan, signal dan hon.
Sistem pencahayaan lampu depan, belakang dan signal menggunakan teknologi LED yang menawarkan pencahayaan lebih terang.
RS-X Winner juga didatangkan dengan rekaan baharu rim 17-inci yang lebih sporty selain perubahan rekaan muffler.
Motosikal ini didatangkan dengan waranti dua tahun atau 20,000 km (mana tiba dahulu).
GALERI