Salah satu kenderaan elektrik yang menerima pujian ramai bukannya datang dari negara China, sebaliknya jenama Korea Selatan, iaitu Hyundai Ioniq 5 N.
Prestasi yang ditunjukkan oleh crossover pantas itu bukan sahaja menarik minat golongan petrolhead yang mahu berhijrah ke alam sifar emisi, ia juga turut mendapat perhatian daripada rakan pesaing, seperti contoh Lamborghini.
Dalam satu video yang dimuat naik oleh Varryx ke dalam YouTube, SUV prestasi tinggi elektrik tersebut dikesan meninggalkan ibu pejabat Lamborghini di Itali.
Berkemungkinan besar EV pantas tersebut digunakan sebagai unit penanda aras oleh Lamborghini untuk membangunkan EV pertama mereka.
Berdasarkan laporan, Lamborghini akan melancarkan model EV pertama menjelang akhir dekad ini dalam bentuk grand tourer yang dinamakan sebagai Lanzador.
Dalam versi konsep, EV ini dikatakan mampu menjana kuasa setinggi 1,340 hp daripada dua motor elektrik, jauh lebih bertenaga berbanding Ioniq 5 N.
Namun, SUV Korea Selatan itu mempunyai kelebihan yang tersendiri – sistem N e-shift yang dikatakan mampu mensimulasikan pengalaman dan sensasi pemanduan menggunakan kotak gear DCT yang biasa digunakan pada kereta berenjin.
Mengikut teori, Lamborghini mungkin sekali mahu mengkaji sistem tersebut untuk dimuatkan pada Lanzador bagi menjadikan EV tersebut lebih seronok untuk dipandu walaupun tidak lagi menggunakan enjin pembakaran dalaman.
Selain daripada Lamborghini, prestasi Hyundai Ioniq 5 N turut dipuji oleh CEO BMW M, Frank van Meel dan tidak menghairankan apabila kereta-kereta elektrik masa depan divisyen tersebut bakal menawarkan teknologi yang serupa.