Sejak 2019 sehingga Disember 2024 sebanyak 1,346 unit Honda N-Box didaftarkan di dalam negara.
Kelibatnya yang mudah ditemui berbanding kei-car (kereta mini) Jepun lain di antara bukti N-Box paling digemari pengguna tempatan.
Sebelum datang ke Malaysia, N-Box terlebih dahulu digemari pengguna di negara asal selama bertahun-tahun dan berterusan sehingga penghujung 2024.
Jualan dari Januari sehingga Disember di Jepun mencecah 206,272 unit.
Angka itu meletakkan N-Box sebagai kereta dengan jumlah jualan kereta baharu tertinggi termasuk kenderaan yang didaftarkan.
Pencapaian ini kali ketiga berturut-turut di dalam kategori jualan kereta baharu dan tahun ke-10 berturut-turut Honda menerajui jualan kei-car baharu.
N-Box dan N-Box generasi ketiga diperkenal pada Ogos 2023.
Menurut Honda, N-Box diterima baik pengguna baik hasil dari rekaan yang bagus, ruang dalaman luas dan sudut pandang yang membolehkannya senang dipandu.
Dari segi prestasi, rangkaian kuasanya bertenaga serta cekap bahan api dan menawarkan pemanduan bermutu tinggi dengan pengendalian stabil dan selesa.
N-Box ditawarkan dalam dua pilihan rangkaian kuasa iaitu 660 cc i-VTEC naturally-aspirated dan turbo.
Enjin itu dipadan bersama kotak gear CVT dengan pacuan roda depan (FF) atau empat roda (4WD).
N-Box i-VTEC memiliki kuasa 59 ps pada 7,300 rpm dan 65Nm pada 4,800 rpm. N-Box turbo lebih berkuasa dengan 64 ps pada 6,000 rpm dan 104Nm pada 2,600 rpm.
N-Box juga bagus dari segi keselamatan dan dilengkapi sistem Honda Sensing sebagai ciri asas dan meraih skor lima bintang penilaian penilaian kereta baharu JNCAP pada 2023.
Tidak selesa dengan sambutan sedia ada, Honda memperkenalkan N-Box Joy pada September 2024 yang tampil unik dengan gaya retro dan aktiviti luar (outdoor).
Honda menawarkan sejumlah varian N-Box dari Jepun dengan varian asas FF 2WD berharga 1,689,600 yen (RM48,177).
Varian teratas 4WD Custom Turbo Coordinated Style 2-tone ditawarkan pada harga 2,382,600 yen (RM67,953).
Kepada yang berkenan, tempoh setahun selepas berada di pasaran telah berlalu dan N-Box sudah boleh dibawa masuk dari Jepun.
Pencapaian Honda N-Box sejak 2011:
- Disember 2011: N-BOX dilancarkan
- Julai 2012: N-BOX+ dilancarkan
- Mac 2014: Jumlah jualan mencapai 500,000 unit
- Disember 2014: N-BOX SLASH dilancarkan
- Disember 2016: Jumlah jualan mencapai 1 juta unit
- September 2017: Generasi kedua N-BOX dilancarkan
- Februari 2019: Jumlah jualan mencapai 1.5 juta unit
- Mei 2021: Jumlah jualan mencapai 2 juta unit
- Oktober 2023: Generasi ketiga N-BOX dilancarkan
- Disember 2023: Jumlah jualan mencapai 2.5 juta unit
- September 2024: N-BOX JOY dilancarkan
- Jualan keseluruhan sehingga 2024: 2,738,852 unit
Jumlah jualan dan kedudukan:
Tahun | Jualan (unit) | Kedudukan keseluruhan kenderaan ringan | Kedudukan keseluruhan kenderaan empat roda |
---|---|---|---|
2011 | 2,860 | 45 | 165 |
2012 | 211,155 | 2 | 4 |
2013 | 234,994 | 1 | 3 |
2014 | 179,930 | 2 | 5 |
2015 | 184,920 | 1 | 2 |
2016 | 186,367 | 1 | 2 |
2017 | 218,478 | 1 | 1 |
2018 | 241,870 | 1 | 1 |
2019 | 253,500 | 1 | 1 |
2020 | 195,984 | 1 | 1 |
2021 | 188,940 | 1 | 2 |
2022 | 202,197 | 1 | 1 |
2023 | 231,385 | 1 | 1 |
2024 | 206,272 | 1 | 1 |
Jumlah Keseluruhan | 2,738,852 |