Subaru kembali lembut hati untuk menawarkan kembali model WRX STI kepada para peminatnya.
Bertempat di Tokyo Auto Salon 2025, Subaru WRX STI S210 membuat kemunculan rasmi sebagai sebuah jentera yang ditala rasmi oleh Subaru Tecnica International.
Dibina berdasarkan model WRX S4 STI Sport R EX, sedan pantas ini diberikan enjin 2.4 liter turbo yang kini mampu menjana kuasa setinggi 296 hp dan 375 Nm, peningkatan sebanyak 25 hp dan 26 Nm.
Sayang sekali, angka kuasa kuda tersebut masih belum cukup untuk menyaingi model S209 berkuasa 341 hp dan 450 Nm yang dilancarkan pada tahun 2019.
Selain itu, WRX STI S210 ini tidak dilengkapi dengan kotak gear manual, sebaliknya masih kekal dengan transmisi CVT yang digelar Subaru Performance Transmission.
Tidak dilupakan, sedan ini mendapat sistem ekzos yang dinaik taraf, ECU yang telah ditala, rim BBS bersaiz 19 inci dengan balutan tayar Michelin Pilot Sport 4S, brek depan Brembo dan penyejuk transmisi Subaru Performance.
Sedan sports ini dilengkapi dengan kit badan termasuklah spoiler belakang gentian karbon.
Untuk ruang kabin, terdapat tempat duduk bucket karbon Recaro, tali pinggang keledar merah serta plet nombor bersiri yang akan mengingatkan pembeli tentang statusnya sebagai kereta edisi terhad.
Ini kerana, Subaru hanya akan menghasilkan sebanyak 500 unit sahaja WRX STI S210.