Dengan kreativiti yang tidak bertempat serta sumber kewangan yang infiniti, anda sebenarnya boleh mengubah sesebuah kereta biasa menjadi jentera yang luar biasa.
Contoh yang kami bawakan ini ialah sebuah Copershe 811 GT-K yang dihasilkan oleh StanceMagic dan dipamerkan pada acara Tokyo Auto Salon 2025.
Tahukah anda, model ini asalnya merupakan sebuah Daihatsu Copen?
Ya, model binaan sekali (one-off) ini telah diberikan ubahsuai kosmetik supaya menyerupai sebuah Porsche 911, terima kasih kepada kit badan gentian kaca yang merangkumi bampar kustom, fender lebar dan struktur belakang yang telah direka semula.
Imej Porsche dilengkapkan dengan unit lampu depan yang diinspirasikan daripada model 997, diikuti dengan bukaan liang bampar ala model GT3, sepasang lampu belakang asli Porsche 996 dan sayap belakang yang agak besar.
Keempat-empat sudut roda dipadankan dengan set rim aloi StanceMagic, selain mendapat suspensi yang lebih rendah dan sistem brek yang dinaik taraf.
Ruang kabin Copershe ini diserikan dengan sepasang tempat duduk jenis bucket, sangkar keselamatan, upholsteri suede dan kemasan warna merah pada papan pemuka.
Jika anda rajin membuat carian di internet, terdapat beberapa kit badan yang diinspirasikan daripada model Porsche yang anda boleh beli untuk dipadankan pada kei car Daihatsu Copen yang comel ini.