Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia menyasarkan untuk menerbangkan 5 juta penumpang ke Sabah melalui Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau pada 2025, hampir dua kali ganda daripada 3.7 juta ketibaan yang direkodkan pada 2024.
Air Asia berkata sasaran pertumbuhan itu merangkumi pelancong domestik dan antarabangsa, justeru memperkukuh kedudukannya sebagai pemacu kesalinghubungan dan pertumbuhan ekonomi negeri.
“Bagi mencapai matlamat ini, rancangan pengembangan AirAsia bagi 2025 merangkumi peningkatan rangkaian sedia ada sebanyak 27 laluan, termasuk 13 laluan domestik dan 14 laluan antarabangsa ke dan dari Sabah.
“Penambahbaikan ini dijangka menyumbang kepada peningkatan 35 peratus jumlah penerbangan kepada lebih 51,500 penerbangan setahun serta pertumbuhan 43 peratus dalam kapasiti tempat duduk kepada 9.8 juta tempat duduk setahun,” katanya.
Pada 2024, AirAsia memainkan peranan penting dalam mempromosikan Sabah bagi mencapai sasaran lebih tiga juta pelawat dengan menerbangkan sebahagian besar daripada jumlah itu.
Langkah ini memperkukuh kedudukannya sebagai syarikat penerbangan terkemuka yang menyokong kesalinghubungan dan pertumbuhan pelancongan negeri, katanya.
PELABURAN BESAR DALAM OPERASI
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aviation Group, Bo Lingam dalam kenyataan sama berkata, Sabah adalah pasaran penting dalam rangkaian AirAsia justeru berbangga menjadi syarikat penerbangan terkemuka yang menghubungkan rantau ini ke Malaysia dan pasaran antarabangsa utama.
Beliau berkata, sasaran untuk menerbangkan lima juta tetamu pada 2025 disokong oleh pelaburan besar dalam kapasiti operasi untuk meningkatkan penerbangan dan usaha pemasaran bersasar.
Menurutnya, menerusi peningkatan ketibaan pelawat, inisiatif ini berpotensi mewujudkan impak pengganda ekonomi yang besar kepada rantau ini dan perniagaan tempatan, didorong oleh rantaian bekalan yang kukuh dan peningkatan perbelanjaan pelancong.
“Pertumbuhan kami di Sabah tidak akan tercapai tanpa kerjasama yang telah kami bina bersama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan rakan-rakan industri.
“Untuk mengekalkan momentum ini, kami menggalakkan kerjasama yang lebih erat dan insentif bersama daripada pemain utama dalam sektor pelancongan dan hospitaliti termasuk hotel dan penggiat pelancongan,” katanya.
PERKHIDMATAN FLY-THRU
Bagi melengkapkan usaha ini, katanya AirAsia juga akan membuat pelaburan bersasar dengan menawarkan perkhidmatan Fly-Thru dan memperluas laluan utama di pasaran penting seperti Vietnam, India, Indonesia, dan Kazakhstan.
“Inisiatif ini turut diperkukuh dengan kempen berterusan terhadap pelancong dari China, Hong Kong dan Singapura.
“Bersama-sama rakan kongsi kami, kami berhasrat untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi global yang berkembang maju, memberi manfaat kepada komuniti setempat dan memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelancongan bertaraf dunia,” kata beliau.
Pada 2024, AirAsia dan STB memeterai kerjasama strategik selama lima tahun untuk meningkatkan industri pelancongan negeri dengan memperluas rangkaian udara di seluruh Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan mengembangkan rangkaian ke ASEAN, Asia Utara dan Oceania dari 2024 hingga 2028.