Polis tumpas sindiket jualan nombor plat di Facebook

11

Polis Perak berjaya menumpaskan sindiket penipuan penjualan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian dengan menahan empat individu termasuk seorang wanita dalam serbuan berasingan di tiga negeri sejak Jumaat lalu.

Serbuan itu dilakukan selepas Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 22 tahun pada 8 Januari lalu yang menjadi mangsa sindiket. 

Honda

Pihak berkuasa menahan suspek yang berusia antara 27 hingga 52 tahun itu di Gemencheh (Negeri Sembilan), Setapak (Kuala Lumpur) dan Langkawi (Kedah).

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, mangsa tertarik dengan satu nombor pendaftaran kenderaan yang diiklan pada harga RM2,000 di Facebook.

“Pengadu telah membuat pembayaran deposit sebanyak RM1,000 ke akaun diberikan seperti mana diarahkan oleh sindiket.

“Selepas pembayaran dibuat, pengadu gagal menerima sebarang jawapan dan panggilan pengadu telah disekat.

“Dia hanya menyedari dirinya ditipu apabila membuat semakan dengan pihak JPJ Ipoh dan mendapati nombor pendaftaran tersebut didaftarkan atas nama individu lain,” katanya menerusi kenyataan media.

Hasil semakan, syarikat yang digunakan sindiket juga tidak wujud dan tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Beliau menambah turut dirampas lima unit telefon bimbit, tujuh keping kad bank, dua unit komputer dan pencetak yang dipercayai digunakan bagi tujuan penipuan.

“Selain Perak, sindiket juga didapati memperdaya beberapa mangsa di Selangor, Kedah dan Johor.

“Berdasarkan semakan nama syarikat dan nombor akaun digunakan sindiket terlibat dalam lapan laporan polis nilai kerugian berjumlah RM71,400,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya. 

Kesemua suspek direman sehingga 17 Januari untuk siasatan lanjut. 

ARTIKEL LAIN

Gara-gara guna nombor plat ‘Jaybe Degil’, polis tahan seorang lelaki

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here