Landasan ECRL 400km Maran ke Kota Bharu siap awal

6

Kerja-kerja pemasangan landasan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melibatkan jajaran utama dari Maran, Pahang ke Kota Bharu siap dua bulan setengah lebih awal daripada jadual asal.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, jajaran lebih 400km itu kini tidak mengalami sebarang masalah yang boleh melewatkan kerja-kerja pemasangan berkenaan.

Honda

Beliau memberitahu, musim tengkujuh juga tidak memberi impak besar kepada semua kerja-kerja berkaitan tiada kawasan pembinaan yang dinaiki air.

“Walaupun Kelantan mengalami banjir besar namun kita berada dalam keadaan baik selain mendapat kerjasama daripada semua pihak terlibat dan penduduk setempat,” katanya.

Menurut Darwis lagi, pencapaian penting itu dicatat apabila kerja pemasangan landasan ECRL fasa ketiga sejauh 206km jajaran utama dari Dungun, Terengganu ke Kota Bharu di sini siap pada Rabu.

Justeru jelas beliau, pembinaan sistem elektrifikasi, semboyan dan telekomunikasi untuk jajaran ECRL Kelantan turut dapat dipercepatkan.

Katanya lagi, status kemajuan keseluruhan projek ECRL sehingga Disember tahun lalu sangat membanggakan kerana sudah mencapai 77.39 peratus dan dijangka siap pada Disember 2026 bagi jajaran dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dan mula berpoprasi pada Januari 2027.

Beliau juga memaklumkan, kejayaan pemasangan landasan ECRL didokong oleh penggunaan teknologi termoden dan canggih dari China selain kerjasama pasukan ECRL.

“Projek ECRL mencatat pencapaian penting dalam pemasangan landasan membabitkan Fasa Satu hingga hingga Fasa Tiga dilaksanakan dengan lancar mendahului jadual asal.

“Melalui teknologi canggih, kaedah yang cekap dan fokus terhadap pembangunan tenaga kerja mahir, kami tetap dapat mewujudkan infrastruktur yang transformatif dan lestari untuk Malaysia,” katanya.

Kelantan mempunyai dua stesen ECRL iaitu Stesen Kota Bharu di Bandar Baru Tunjong bagi tujuan penumpang dan Stesen Pasir Puteh di Cherang Tuli untuk kegunaan penumpang serta kargo.

Projek ECRL sepanjang 665km akan merentasi Pantai Timur sebelum menghubungkan Selangor di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here