Sebanyak 429 kes gagal pemeriksaan khas melibatkan penukaran enjin kenderaan direkodkan oleh Puspakom pada 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata jumlah itu menunjukkan kepentingan penukaran enjin disahkan oleh Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Adalah menjadi tanggungjawab semua pemilik kenderaan yang menukar enjin kenderaan untuk memaklumkan kepada pihak JPJ. Ia jelas dinyatakan dalam enakmen undang-undang.
“Mereka yang tidak melaporkan kes mereka adalah tidak bertanggungjawab dan alpa dalam peranan mereka memastikan kenderaan selamat untuk digunakan di jalan raya,” katanya.
Mahmood berkata, kenderaan yang menukar enjin asal kepada enjin baharu atau terpakai perlu menjalani Pemeriksaan Arahan JPJ dan Pemeriksaan Khas (B2) – Penukaran Enjin di Puspakom.
“Secara umumnya, dokumen yang diperlukan adalah kad pendaftaran kenderaan (asal) atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC); borang kastam eksais; surat jualan daripada pengedar sah dan surat pengesahan daripada bengkel dibenarkan.
“Selain itu, dokumen lain diperlukan adalah surat kelulusan dari Kejuruteraan Automotif bagi kenderaan yang menukar enjin cc melebihi 30 peratus atau bahan bakar yang lain,” katanya.
Tambah beliau, Puspakom akan menjalankan pemeriksaan berpandukan kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh JPJ.
“Kenderaan yang menukar enjin tetapi membeli insurans dan cukai jalan menggunakan nombor enjin lama, sebenarnya menipu.
“Mereka juga akan menghadapi tindakan undang-undang apabila perkara itu terbongkar. Lebih penting lagi, jika berlaku kemalangan dan mereka membuat tuntutan insurans, tuntutan itu akan gagal.
“Apa yang menjadi masalah adalah pihak ketiga yang dilanggar kerana tidak dapat menuntut terhadap polisi kenderaan bersalah tersebut,” jelasnya.
Menurutnya, pemilik kenderaan perlu sedar tanggungjawab mereka kepada pengguna jalan raya yang lain.
“Tindakan pemilik kenderaan berkenaan menyusahkan pihak ketiga dan mereka juga mungkin akan mengalami kerugian kewangan.
“Ini melibatkan bil memperbaiki kenderaan sendiri serta kenderaan lain yang dilanggar selain bil peguam bagi kes mahkamah,” katanya.
ARTIKEL LAIN
Bagaimana hendak tukar enjin kenderaan? Ikuti panduan yang dikeluarkan oleh JPJ ini