Selepas membuat kemunculan pada acara Kuala Lumpur International Mobility Show 2024 (KLIMS 2024), Proton X50 Sport Edition dilancarkan secara rasmi menerusi laman Facebook, Proton Cars.
Terhad hanya 1,000 unit, versi Sport Edition itu dijual pada harga RM98,300 (tanpa insurans) selepas rebat RM7,000 bagi bulan Januari.
Proton X50 Sport Edition diasaskan dari varian 1.5T Premium dengan kemas kini signifikan melibatkan :
- Warna badan Quartz Black dipadankan dengan aksen warna merah pada kit badan splitter depan, skirting sisi dan belakang serta grafik jalur sepanjang pintu.
- Jika versi biasa mendapat krom satin pada bahagian gril depan, Sport Edition didatangkan dengan warna hitam berkilat.
- Bahagian kakinya pula menerima rim 18-inci 10 jejari berwarna hitam berkilat .
- Melengkapkan penampilan tersebut adalah padanan lencana ‘Sport Edition’ yang disematkan pada pintu belakang, karpet dan plat sil pintu. Turut tersedia pengecas tanpa wayar Qi.
- Kemasan warna merah turut dilanjutkan ke bahagian kabin pada kerusi, sisi pintu, karpet dan perehat tangan bahagian depan.
Menggunakan varian Premium, ini bermakna X50 Sport Edition didatangkan dengan enjin 1.5 liter TGDi berkuasa 150PS dan tork 255Nm bersama transmisi dua klac 7-kelajuan.