Laman berita Thaiger semalam (16 Januari) melaporkan seorang lelaki telah ditahan kerana didapati mencuri ambulans di Chaiyaphum, wilayah Nonthaburi, Thailand.
Berdasarkan berita yang dipetik daripada Kosmo, organisasi penyelamat Yayasan Sawang Khunnatham membuat laporan kepada polis setempat mengenai sebuah ambulans miliknya yang hilang.
Kenderaan itu kemudian ditemui ditinggalkan di tepi jalan di Bandar Bang Yai tanpa pemandu.
Berdasarkan maklumat daripada orang awam, polis kemudian berjaya mengesan suspek yang berusia 31 tahun.
Selepas disoal siasat, suspek memberitahu bahawa dia memandu ambulans itu tanpa hala tuju sebelum tiba di Nonthaburi.
Katanya, dia tidak berniat untuk mencuri ambulans tersebut.
Siasatan mendapati, suspek pernah ditangkap atas kesalahan berkaitan dadah selain pernah beberapa kali cuba melarikan diri daripada program pemulihan.