Polis Johor menahan dua lelaki tempatan dalam insiden kejar-mengejar sejauh 6km dari jalan Harmonium hingga ke susur keluar pekan Ulu Tiram, Johor Bahru, malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Raub Selamat berkata dalam kejadian kira-kira 8.35 malam itu, sepasukan anggota kereta peronda MPV Ibu Pejabat Polis JBS mengesan sebuah Mitsubishi Lancer dinaiki dua lelaki berusia 24 dan 28 tahun dalam keadaan mencurigakan ketika Op Cegah Jenayah.
Beliau berkata ketika pihak polis mengarahkan kereta itu berhenti bagi tujuan pemeriksaan, suspek bertindak melarikan diri serta memandu secara melulu dan berbahaya melalui laluan jalan Harmonium, jalan Badik, jalan Tebrau sehingga ke susur keluar pekan Ulu Tiram.
“Kejadian kejar-mengejar itu belangsung selama 20 minit melibatkan lima buat unit peronda MPV. Suspek berjaya ditahan apabila kenderaan mereka terhenti kerana kesesakan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raub berkata siasatan mendapati suspek bertindak melarikan diri daripada di tahan pihak polis kerana berada dalam pengaruh dadah, memandu tanpa lesen sah, cukai kenderaan tamat tempoh dan menggunakan kereta dengan nombor pendaftaran palsu.
Pemandu yang berusia 24 tahun bekerja sebagai buruh didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala penumpang berusia 28 tahun yang juga seorang buruh tiada rekod jenayah lampau.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methaphetamine dan pemeriksaan casis kenderaan itu mendapati ia menggunakan nombor pendaftaran palsu dan pemandu pula tiada lesen memandu yang sah.
Kedua-dua suspek disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian itu untuk membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Insp. Mohd Zulpaka Bambo di talian 014-8861791,” katanya.