Kerajaan mengambil keputusan menghentikan pemberian tol percuma bersempena dengan musim perayaan sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat kabinet tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, kerajaan akan menggantikan pemberhentian tol percuma itu dengan pendekatan yang lebih bersasar.
“Akan kita umumkan dalam masa terdekat (pendekatan lebih bersasar). Tahun lalu kerajaan memutuskan tahun 2024 adalah tahun terakhir pemberian tol percuma di musim perayaan.
“Ikut keputusan itu tiada (pemberian tol percuma) tetapi kalau ada, mungkin pertimbangan lain… akan dibincangkan.
“(Keputusan ini kerana)… kerajaan hendak selaraskan dengan subsidi yang lebih bersasar… perincian akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
Pada 21 Disember tahun lalu, Alexander mengumumkan kenderaan persendirian Kelas 1 akan mendapat pengecualian tol di semua lebuh raya sempena perayaan Krismas mulai jam 12.01 tengah malam 23 Disember 2024 (Isnin) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 24 Disember 2024 (Selasa).
Beliau berkata pengecualian tol itu akan menyebabkan kerajaan menanggung implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM38 juta bagi membayar balik kepada syarikat konsesi tol terbabit.
Ini menjadikan itu pemberian tol percuma terakhir sempena musim perayaan setakat ini.