Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengesan tujuh kesalahan dilakukan pemandu bas ekspres hasil penyamaran anggota sebagai penumpang dalam Operasi Khas Tahun Baharu Cina (2025) pada Isnin dan Selasa lalu.
JPJ Pahang menyatakan antara kesalahan dikesan iaitu menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memandu di lorong kanan secara berterusan, meletak kenderaan di lorong kecemasan (mengambil penumpang) dan merokok semasa memandu.
Menurutnya, turut dikesan kesalahan tiada pemandu kedua bagi jarak lebih 300km, tidak memberi isyarat semasa menukar lorong dan tata kelakuan pemandu (berpakaian kurang sopan, kemas dan bersih).
“Dalam tempoh dua hari itu, empat pemandu bas ekspres telah diambil tindakan dengan sembilan saman dikeluarkan,” katanya.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir Razali Kassim berkata, JPJ Pahang menempatkan lebih 10 anggotanya untuk menyamar sebagai penumpang bas ekspres setiap hari sepanjang operasi khas itu.
Penyamaran itu dilaksanakan bagi bagi mengesan salah laku dalam kalangan pemandu bas.
Pada masa sama, jabatan itu juga menempatkan anggotanya di terminal bas utama di negeri ini termasuk di TSK untuk memeriksa dan memantau pemandu serta bas ekspres sepanjang tempoh operasi khas itu.
Langkah tersebut dilaksanakan bagi memastikan pemandu dan pengusaha bas ekspres mematuhi keperluan undang-undang dan mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan ke destinasi.
Selain pemeriksaan teknikal bas seperti brek, tayar, dan sistem pencahayaan, JPJ turut berkolaborasi bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pahang bagi mencegah dan mengesan penggunaan bahan terlarang dalam kalangan pemandu bas ekspres.