Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman menyatakan sokongan kepada kakitangannya berikutan insiden tular pelanggan menampar seorang pemeriksa kenderaan di salah sebuah cawangannya.
Menerusi video yang dikongsi di akaun Facebook rasmi Puspakom, Mahmood menyatakan terkejut dengan kejadian berkenaan dan memuji tindakan pekerja tersebut yang kekal tenang.
“Saya tengok video itu, saya terkejut sebenarnya dan saya kesian dengan kakitangan kita.
“Walaupun saya pernah dengar ini berlaku, sebelum saya menjadi CEO pun, saya pernah dengar benda ini berlaku.
“Tapi saya lihat sendiri dan saya bangga pun ada juga sebab dia tidak langsung memberikan reaksi, dia tidak memukul balik, dia tidak ada marah-marah, maki-maki. Saya bangga dengan dia,” katanya.
PERBAIKI MASALAH KENDERAAN DAN KEMBALI SEMULA
Bagaimanapun, beliau menyatakan kejadian sedemikian tidak seharusnya berlaku. Ini kerana kenderaan tersebut gagal pemeriksaan akibat tidak mematuhi syarat atau tahap piawaian ditetapkan oleh kerajaan.
Mahmood menegaskan tindakan itu adalah demi keselamatan di jalan raya.
“Jika pengguna sentiasa menjaga kenderaan mereka, membuat perbaikan berkala pada kenderaan mereka maka ini tidak akan berlaku lagi.
“Kalau semua orang sedar apa yang dilakukan Puspakom ini adalah untuk keselamatan orang ramai, pengguna jalan raya yang lain dan juga pembawa kenderaan itu sendiri, mungkin mereka boleh bersabar sikit.
“Orang ramai harus tahu bahawa tindakan kita mengikut SOP dan piawaian. Mereka tidak seharusnya gusar sekiranya kenderaan gagal dalam pemeriksaan,” katanya.
Beliau memberi penyelesaian yang mana pemilik kenderaan hanya perlu memperbaiki masalah kenderaan dan kembali semula untuk pemeriksaan.
Mempertahankan integriti kakitangannya, Mahmood berkata, bukan semua kakitangan Puspakom tiada profesionalisme.
“Saya akan mempertahankan kakitangan saya yang bertindak dengan penuh integriti. Ini menunjukkan tidak semua kakitangan Puspakom tidak berintegriti. Ramai yang mengikut SOP dengan jujur.”
“Saya percaya kebanyakan kakitangan Puspakom berkongsi nilai ini dan komited untuk menjadikan pengangkutan jalan raya lebih selamat,” tambahnya.