Pengeluar kereta elektrik (EV) China, BYD menyasarkan untuk menyiapkan kilang di Indonesia bernilai USD1 bilion (RM4.44 bilion) hujung tahun ini.
Pengarah Presiden BYD Indonesia, Eagle Zhao berkata pelan jangka panjang kilang berkenaan adalah untuk pasaran eksport.
“Setiap kemajuan pembinaan tempatan kami agak lancar dan juga berada di landasan yang betul.
“Kami akan mengekalkan komitmen, iaitu menjelang akhir 2025 kami akan menyiapkan kerja-kerja pembinaan,” katanya.
Kilang berkenaan dibina di kawasan perindustrian di Subang, Jawa Barat dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 150,000 unit EV setiap tahun.
Menerusi pelaburan itu, BYD menerima pengecualian duti import di Indonesia yang bertujuan merangsang permintaan EV sambil menarik pelaburan pembuat kereta.
Kerajaan Indonesia menyasarkan 600,000 EV akan dikeluarkan dalam negara menjelang 2030.
BYD JUAL 14,249 KERETA DI INDONESIA
Tahun pertama jualan 2024 di Indonesia, BYD menjual 15,429 unit kenderaan, menurut data persatuan kereta.
Berdasarkan angka Januari hingga November, BYD adalah peneraju jualan EV berasaskan bateri dengan kira-kira 36 peratus perkongsian pasaran.
Zhao berkata beliau menjangkakan kilang baharu itu akan mengeluarkan kereta pertamanya tidak lama selepas siap dibina.
BYD setakat ini telah memperkenalkan empat model di Indonesia iaitu sedan Seal, Atto 3, hatchback Dolphin dan MPV tujuh tempat duduk M6, yang merupakan model terlarisnya sejak empat tahun lalu.
Zhao menambah bahawa syarikat itu merancang untuk memperkenalkan lebih banyak model tahun ini, tanpa menyatakan bilangannya bagi berdepan pertumbuhan pesat jualan pada 2025.
BYD juga akan melancarkan jenama Denza premiumnya di Indonesia minggu ini.
BYD melepasi sasaran jualan globalnya lebih 4 juta unit pada 2024 telah meningkatkan kehadirannya di Asia Tenggara, mencabar pasaran kereta yang dikuasai oleh firma Jepun dan Korea.
Tahun lepas, BYD membuka kilang EV pertamanya di rantau ini, di Thailand, bernilai USD490 juta (RM2.1 bilion) dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 150,000 unit setahun, termasuk plug in hibrid.