Rasuah pegawai ikut berat lori, sehari RM6,000

216

Nilai rasuah diberikan kepada pegawai penguatkuasa di pintu masuk Zon Perdagangan Bebas (FCZ) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang berkaitan sindiket penyeludupan rokok elektronik (vape) dipercayai berjumlah RM6,000 sehari.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, nilai rasuah ini bergantung jenis lori yang dilepaskan.

Honda

“Jika lori satu tan nilainya RM150, lori tiga tan (RM300), lima tan (RM500) dan atas lima tan (RM750).

“Kekerapan lori pelbagai jenis itu akan keluar dari FCZ KLIA sebanyak lebih kurang 20 buah lori sehari dan anggaran nilai rasuah diberikan adalah sekitar RM4,000 hingga RM6,000 sehari,” katanya kepada Sinar Harian. 

Beliau berkata, lori-lori dilepaskan oleh pegawai-pegawai penguatkuasa di FCZ KLIA mempunyai pelbagai kesalahan terutamanya penyeludupan.

Mengulas mengenai Op Airways itu, Azam berkata, rampasan dan sitaan vape telah dibuat selain barang-barang lain seperti komputer, telefon bimbit, barangan berjenama dan wang tunai dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM17,954,459.

“Berdasarkan hasil risikan dan siasatan, sindiket penyeludupan vape keluar dari FCZ KLIA ini aktif menjalankan kerja-kerja penyeludupan sejak tahun 2023.

“Buat masa ini, siasatan baru sahaja bermula dan masih dalam tindakan untuk mengenal pasti suspek-suspek lain serta penglibatan mereka dalam aktiviti sindiket penyeludupan tersebut,” jelasnya.

Op Airways pada Selasa itu dijalankan hasil risikan selama tiga bulan.

Seramai 14 individu berusia lingkungan 20 hingga 60-an termasuk dua wanita telah ditahan antara jam 8 malam hingga 1 pagi (Rabu) di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here