Tahun lalu XPeng X9 dikesan di jalan raya tempatan. Semalam, Bermaz Auto mempertontonkan MPV elektrik tujuh kerusi pertama Xpeng.
Bagaimanapun, ia merupakan unit pembangunan. XPeng X9 merupakan MPV saiz besar yang berdiri di atas platform SEPA 2.0. Ia menampilkan stereng gandar belakang dan rekaan futuristik inspirasi kapal angkasa.
EV berkenaan memiliki panjang 5,293mm, lebar (1,988mm) dan tinggi (1,785 mm) dengan jarak roda 3,160mm serta bentangan kerusi 2+2+3.
Aerodinamik MPV keluarga itu juga cukup baik dengan daya seretan 0.227 Cd. Di pasaran China, ia didatangkan dengan dua pilihan tren kuasa:
Model pengenalan pacuan roda depan (FWD)
- motor depan 235kW
- bateri LPF daripada Eve Energy
- kapasiti bateri 84.5/101.5kWh
Model prestasi pacuan semua roda (AWD)
- motor 370kW (235kW depan + 135kW belakang)
- bateri litium NMC daripada CALB
- kapasiti bateri 101.5 kWh
Berdasarkan kombinasi enjin dan bateri, X9 menawarkan jarak perbatuan 610km, 640km dan 702km (CLTC). Di China, ada empat pilihan konfigurasi iaitu 610 Pro (FWD), 702 Pro (FWD), 702 Max (FWD) dan 640 Performance Max (AWD) dengan tanda harga bermula dari CNY 359,800 hingga CNY 419,800 (RM219,424 – RM256,016).
Ketima pembentangan model berkenaan di China tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Xpeng, He Xiaopeng, menghabiskan banyak masa membincangkan betapa luasnya pesaing Zeekr 009.
Pada sesi previu itu Motoqar berpeluang melihat sendiri ciri peralatan dan fungsi yang cukup praktikal bagi seorang ibu. Ini kerana boleh dikatakan kesemua operasi dalam kenderaan dikawal menerusi punat termasuklah lipatan kerusi barisan ketiga.
Dengan lipatan penuh kerusi belakang menawarkan ruang simpanan bersaiz 2,554 liter yang boleh memuatkan lima basikal bahkan set golf dengan mudah.
Operasi lipatan kerusi belakang juga hanya menggunakan punat kawalan secara automatik tanpa perlu lagi menggunakan tenaga manusia. Xpeng memanggilnya sebagai transformasi satu klik kepada MPV 4 tempat duduk ultra-besar.
Selain itu, dalam kabin tersedia peti sejuk 10.8 liter yang dibuka secara elektronik dan seperti biasa dalam XPeng mirip Tesla dengan ruang butang fizikal yang minimum.
Ia didatangkan dengan dua pemegang cawan, skrin kawalan pusat 17.3 inci dan panel LCD instrumen yang lebih kecil untuk pemandu. Terdapat juga skrin bumbung 21.4 inci untuk penumpang belakang.
ARTIKEL LAIN