Langgar lari, pemandu BMW didenda RM5,500

28

Pemandu kereta BMW yang diburu polis kerana menghilangkan diri selepas melanggar sebuah Perodua Aruz sehingga mengakibatkan pemandunya patah tangan, didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Jumaat.

Majistret Nur Fatin Mohamad Farid menjatuhkan hukuman selepas tertuduh, Christopher Lim Ka Hen, 27, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Honda

Tertuduh yang juga pekerja khidmat pelanggan turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu sebagai pemandu kereta VBN 1189 didakwa memandu tanpa pertimbangan munasabah orang lain menggunakan jalan itu di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Danga – Jalan Nusa Bestari di sini, kira-kira jam 3.10 pagi, 17 Januari lalu.

Atas perbuatan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 membawa hukuman denda sehingga RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan serta lesen memandu diendors oleh mahkamah, jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan masih bujang dan mempunyai ibu bapa, walaupun tidak menjaganya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda berkenaan serta memerintahkan lesen memandu tertuduh diendorskan oleh mahkamah.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Inspektor S Vikineswary.

Pada 19 Januari lalu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan dilaporkan berkata, pihaknya sedang mengesan pemandu kereta BMW berwarna putih itu bagi membantu siasatan kes kemalangan membabitkan sebuah Perodua Aruz dengan BMW berkenaan.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Perodua Aruz yang bergerak lurus di lampu isyarat berwarna hijau didatangi BMW berkenaan dari arah kanan yang tidak berhenti, lalu melanggar MPV itu di bahagian hadapan sebelah kanan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here