Kerajaan MADANI dalam Mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju memberikan potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2025.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08 juta.
‘’Pemberian ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah sekian kalinya diberikan oleh Kerajaan MADANI bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023.
‘’Sepanjang tempoh tersebut, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan dari 2023 hingga 2024,’’ katanya.
Keputusan memberikan diskaun 50 peratus dari kadar biasa tol ini akan dilaksanakan bermula pada jam 12.01 tengah malam 27 Januari 2025 (Isnin) dan akan berakhir pada Jam 11.59 malam 28 Januari 2025 (Selasa).
Namun kenyataan sama menyebut bahawa potongan tol 50 peratus ini khusus bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Justeru, semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa cuti panjang ini.