Seorang lelaki maut selepas Perodua Axia dipandunya melanggar tembok konkrit di Plaza Tol Kempas arah selatan, Johor Bahru, awal pagi semalam.
Ketua Polis Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 6.15 pagi yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun.
“Hasil siasatan kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Axia yang dipandu mangsa hilang kawalan ketika tiba ke tempat kejadian.
“Keadaan itu menyebabkan kereta itu terbabas lalu melanggar tembok konkrit pembahagi antara tol di lokasi.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta dilaporkan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas Wan Nor Affendi berkata, seramai lapan anggota diarahkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
Menurutnya, sebaik tiba Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati kereta Perodua Axia melanggar tembok konkrit di plaza tol.
“Anggota mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kereta yang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. Mayat kemudian diserahkan pada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.