Tahukah anda? Taycan Turbo GT model pengeluaran Porsche paling berkuasa!

30

Bukan GT3 atau GT3 RS tetapi Taycan Turbo GT merupakan model pengeluaran Porsche paling berkuasa!

Jika dikelompokkan di dalam kategori enjin pembakaran dalaman (ICE), GT3 dan GT3 RS pastinya berbisa namun sekarang ini era kenderaan elektrifikasi dengan kuasa tinggi.

Honda

Bagaimana Taycan Turbo GT boleh menjadi begitu hebat? Di antaranya arus 900 ampere yang menghantar begitu banyak tenaga kepada gandar belakang.

Usahkan Turbo GT, Taycan Turbo S pun sudah memiliki kuasa 700 kW (952 ps) (Overboost Power). 

Menurut Pengurus Teknikal Projek Porshce (Taycan), Christian Müller, mereka menyedari terdapat pelanggan mahukan sesuatu yang lebih istimewa daripada model teratas.

Dari situ Porsche menumpukan perhatian pada peningkatan kuasa semasa peringkat terawal pembangunan lagi.

Berbanding Turbo S, Taycan Turbo S mempunyai tambahan kuasa 115 kW dalam tempoh dua saat (Overboost Power) atau 760 kW.

Daya kilas pula setinggi 1,240Nm (Launch Control).

Kuasa dan prestasi Taycan Turbo GT:

  • Bateri: Performance Battery Plus, 105 kWj (97 kWj bersih)
  • Kuasa: 580 kW (789 ps)
  • Kuasa: 700 kW (952 ps) – Attack Mode 10 saat
  • Kuasa: 760 kW (1,034 ps) – Launch Control
  • Kuasa: 815 kW (1,108 ps) – Launch Control, Overboost Power 2 saat
  • Daya kilas: 1,240Nm – Launch Control
  • Pecutan 0 – 100 km/j: 2.3 saat (2.2 saat Weissach Package)
  • Kelajuan maksimum: 290 km/j (305 km/j)
  • Jarak: 528 – 554 km (538 – 555 km Weissach Package) (WLTP)
  • Berat: 2,290 kg (2,220 kg Weissach Package)

Bagi sebuah kereta dengan enjin enam silinder boxer biasa, penambahan kuasa diperoleh melalui sesaran lebih besar, ligatan lebih tinggi dan pengurangan geseran lebih rendah.

Satu lagi cara yang biasa digunakan adalah pengecas turbo.

Untuk projek Taycan Turbo GT, tumpuan diberi pada penyongsang (inverter) aliran pada gandar belakang.

Komponen ini berfungsi menukar arus terus voltan bateri 105 kWj kepada arus ulang-alik dan mengawal motor elektrik.

Taycan Turbo S menggunakan penyongsang 600 ampere manakala Turbo GT dipasang jenis 900 ampere.

Penyongsang itu ibarat pam yang lebih berkuasa tinggi. 

Silikon karbida menggantikan silikon sebagai bahan semikonduktor dan mengurangkan kehilangan penukaran dan meningkatkan frekuensi aliran.

Hasilnya kecekapan meningkat ketara selain ketekalan prestasi yang lebih tinggi.

Nampak mudah dengan hanya melibatkan perkakasan namun lebih daripada itu.

Menurut Müller, penyongsang baharu lebih tinggi dan pengubahsuaian terpaksa dibuat pada rangka badan.

Disebabkan itu Porsche perlu membuat perumah di dalam ruang kargo dan turut berfungsi sebagai tempat simpanan barang.

Motor segerak kekal dan penyongsang aliran baharu disesuaikan dengan arus 900 A lebih tinggi.

Pakar Porsche turut menumpukan perhatian pada transmisi dua kelajuan pada gandar belakang.

Daya kilas lebih tinggi meningkatkan lagi tahap tekanan dan komponen transmisi telah ditambah baik. 

Di antaranya lapisan khas pada pasaran gear, galas, cekam lebih kuat dan perumah transmisi yang diperkukuhkan.

Pemandu yang mengaktifkan Attack Mode boleh menikmati tambahan kuasa sehingga 120 kW (163 ps) selama sepuluh saat.

Syaratnya, kapasiti pengecasan pada tahap lebih 30 peratus dan suhu lebih 10 darjah Celsius.

Kuasa tambahan tidak tersedia pada 815 kW dan hanya boleh digunakan di luar fungsi Overboost dan Launch Control.

Fungsi ini disesuaikan dari jentera Porsche 99X Electric Formula E dan boleh dinikmati semula selepas empat minit.

Dari segi aerodinamik, Taycan Turbo GT berbeza dengan bahagian bawah badan yang diubah suai, spoiler depan dan belakang baharu.

Cakera brek yang digunakan jenis seramik ringan dan tayar musim panas khas berprestasi tinggi pada rim 21 inci.

Taycan Turbo GT dengan Weissach Package pula lebih ekstrem dengan penanggalan perkakasan tidak perlu seperti kerusi belakang.

Hasilnya berat menurun sebanyak 70 kilogram.

Kehebatan Taycan Turbo GT telah dibuktikan, model dengan Weissach Package memecahkan tiga rekod pada 2024.

Kereta sport elektrik ini berjaya mencipta masa terbaik di WeatherTech Raceway Laguna Seca di California dan Shanghai International Circuit.

Rekod juga dicipta di litar kegemaran pengeluar iaitu di Nürburgring Nordschleife.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here