Kita mungkin sudah terbiasa dengan penggunaan van dan minivan sebagai kenderaan terakhir untuk mengangkut jenazah.
Namun di luar negara, terdapat beberapa pihak yang menawarkan khidmat ubah suai mana-mana sedan dan hatchback menjadi sebuah kereta jenazah yang sebenar.
Di The Netherlands, terdapat sebuah kereta jenazah Tesla Model 3 dibina oleh Derks Funeral Mobility yang sedia untuk dilepaskan kepada pihak yang berminat.
Kereta jenazah ini dibina berdasarkan Tesla Model 3 versi facelift yang diproduksikan pada lewat tahun 2023, di mana struktur bahagian belakang dibuat serba baharu termasuklah bukaan pintu belakang supaya ia dapat memuatkan keranda.
Biarpun struktur pintu penumpang telah ditiadakan, kereta jenazah Tesla ini telah diberikan ruang penyimpanan pada kedua-dua belah sisi kereta.
Susun atur ruang kabin masih lagi kekal menggunakan spesifikasi asal Tesla Model 3, namun untuk ruang keranda pula telah diberikan kemasan bahan berkualiti tinggi termasuklah elemen pencahayaan yang diinspirasikan daripada ruang kabin Rolls-Royce.
Harga yang diminta untuk sebuah kereta jenazah Tesla Model 3 ini bermula dari €118,950 (RM546,040).