Era motosikal dua lejang sudah lama berlalu, di mana kami percaya ramai di antara kita yang pernah merasai pengalaman menunggang motosikal 2T meninggalkan kepulan asap wangi di belakang.
Peraturan emisi yang semakin ketat menjadi punca kepupusan motosikal enjin dua lejang.
Namun, ada satu pihak yang kini sedang cuba untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan motosikal dua lejang – tidak lain dan tidak bukan Kawasaki!
Dalam satu hantaran di Instagram, Kawasaki UK memuat naik satu video pendek yang mengumpulkan pelbagai komen dari laman media sosial yang meminta pengeluar itu mengembalikan era enjin dua lejang.
View this post on Instagram
Video pendek tersebut kemudian diakhiri dengan mesej “We Heard You”, memberikan petanda tentang kewujudan semula motosikal dua lejang pada masa hadapan.
Menariknya, berdasarkan pendaftaran dokumen paten yang diterbitkan pada Julai 2024, Kawasaki dilapor sedang membangunkan enjin dua lejang serba baharu, lengkap dengan teknologi moden seperti sistem pancitan bahan api, injap kemasukan yang dioperasikan oleh aci sesondol dan juga unit pengecas turbo.
Kehadiran teknologi yang disebutkan itu tadi dilihat mampu meningkatkan tahap kecekapan operasi dan dalam masa yang sama mengekalkan kelebihan enjin dua lejang berbanding enjin empat lejang.