Had laju di semua jalan Persekutuan di seluruh negara akan diturunkan daripada 90kmj kepada 80kmj bermula hari ini sehingga 2 Februari depan, sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan penurunan sementara had laju selama enam hari sepanjang Op Bersepadu itu bertujuan meminimumkan risiko kemalangan jalan raya.
“Sepanjang tempoh itu, kerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan yang tidak kritikal akan dihentikan sementara supaya tidak mengganggu aliran trafik, manakala kerja kecemasan yang perlu disegerakan demi keselamatan pengguna akan dirancang sebaiknya.
“Sekiranya perlu, laluan alternatif akan disediakan supaya tidak mengganggu perjalanan pengguna ke destinasi dituju,” katanya.
Selain itu, bagi memastikan kelancaran lebuh raya, Nanta mengarahkan syarikat PLUS supaya menghentikan sementara kerja pelebaran lorong di jajaran Sedenak-Kulai bermula 23 Januari hingga 3 Februari.
Dalam pada itu, Nanta menyarankan semua pengguna jalan raya untuk siap siaga sepenuhnya sebelum melakukan perjalanan termasuk menjaga kesihatan, berehat secukupnya sebelum dan semasa perjalanan agar tidak mengalami keletihan melampau serta mengantuk semasa memandu.
Beliau turut mengingatkan pengguna memastikan kad debit, Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan Touch n’ Go mempunyai baki mencukupi bagi mengelakkan gangguan kesesakan kepada pengguna lain di plaza tol.
“Pengguna juga diingatkan memeriksa keadaan kenderaan termasuk tayar supaya siap sedia untuk perjalanan jauh dan memandu kenderaan secara berhemah, sentiasa bersabar serta mengikut undang-undang jalan raya.
“Sejajar semangat dan aspirasi Program MyJalan yang diterajui Kementerian Kerja Raya (KKR), semua pengguna jalan raya bertanggungjawab memastikan keselamatan diri dan penumpang serta keselamatan dan keselesaan pengguna lain,” katanya.