Tindakan seorang lelaki cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Langat pada Rabu mengundang padah setelah didapati memandu di bawah pengaruh alkohol.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, suspek memandu Honda Civic dalam keadaan laju sebelum ditahan anggota polis bertugas.
Suspek enggan berhenti untuk pemeriksaan sebelum bertindak memecut laju kenderaannya serta melanggar beberapa kon yang diletakkan ketika SJR berkenaan.
Individu berumur lingkungan 30-an itu bagaimanapun berjaya ditahan setelah dikejar anggota trafik bertugas sebelum dibawa semula ke lokasi SJR untuk tindakan lanjut.
Operasi sama turut menahan seorang pemandu warga asing bersama rakannya yang menaiki kereta jenis Proton Saga serta didapati telah tamat cukai jalan selain tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bermula jam 12 tengah malam sehingga 4 pagi.
“Seramai 80 individu dan 100 kenderaan diperiksa dalam operasi ini, selain itu sebanyak 50 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai jenis kesalahan.
“Antara kesalahan tertinggi dikesan adalah tiada lesen memandu diikuti cukai jalan tamat tempoh dan pelbagai kesalahan lain,” katanya.
Katanya, operasi sama menahan seorang lelaki yang didapati memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan mengikut peruntukan Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.