Ditelan lubang benam, pemandu lori terperangkap lebih 24 jam

49

Sebuah lori dan pemandunya ditelan lubang benam sebesar kolam renang di persimpangan bandar Yashio, Jepun pada Selasa.

Lubang benam kira-kira 32 kaki lebar dan 16 kaki dalam itu muncul kira-kira jam 10 pagi (waktu tempatan), kata Gabenor Wilayah Saitama, Motohiro Ono.

Honda

“Ia dipercayai berpunca daripada keretakan pada paip pembetung Lembangan Sungai Nakagawa. Akibat runtuhan ini, sebuah lori yang lalu terjatuh,” katanya menambah fokus utama adalah menyelamatkan pemandu.

Usaha menyelamatkan diteruskan pada Rabu tetapi nasibnya tidak diketahui kerana air terkumpul di dalam lubang menghalang operasi dengan tempat duduk pemandu kini tertimbus dalam pasir.

Menurut stesen TV Nippon, pasukan penyelamat mengepam udara ke dalam lubang untuk memberikan oksigen kepada pemandu berusia 74 tahun itu. 

Mangsa dapat bercakap terus dengan penyelamat sehingga awal petang Selasa, tetapi pasukan penyelamat terpaksa berundur selepas kawasan sekitar lubang menjadi tidak stabil, menurut pegawai bomba.

Lubang pertama mungkin terbentuk kerana kakisan paip pembetung yang berjalan 10 meter di bawah jalan yang membolehkan tanah dan pasir mengalir ke dalamnya, lalu membentuk lubang di dalam tanah yang runtuh. 

“Kami tidak boleh menolak kemungkinan lubang benam berkembang,” kata Motohiro Ono kepada pemberita pada hari Rabu.

Pihak bomba menemui bahagain belakang lori dan ditarik keluar sekitar jam 1 pagi namun kabin pemandu masih tersekat.

Rakaman udara menunjukkan sekurang-kurangnya 12 trak bomba berada di tempat kejadian yang terletak di utara ibu negara Jepun, Tokyo.

LUBANG BENAM KEDUA

Sementara itu, lubang benam baharu telah terbentuk awal Rabu berhampiran tapak Yashio, wilayah Saitama, menyebabkan pihak berkuasa tempatan memanggil penduduk sekitar radius 200 meter untuk berpindah kerana terdapat paip gas di bawah tanah.

Lubang baru itu berukuran kira-kira 3 meter lebar ketika ia terbentuk tetapi telah melebar kepada sekitar 10 meter pada jam 8 pagi, Rabu. Papan tanda restoran berhampiran juga runtuh.

Pada tahun 2016, lubang benam yang besar muncul di jalan lima lorong di Hakata, Jepun. Lubang benam itu menyebabkan bekalan elektrik terpadam dan kelewatan lalu lintas tetapi kru bekerja sepanjang masa untuk memperbaiki lubang di jalan yang sibuk.

Tahun lalu, lubang benam menelan sebuah SUV di Seoul, Korea Selatan, menyebabkan kedua-dua penumpang itu cedera.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here