Seorang wanita maut apabila Proton Saga yang dipandu bertembung dengan sebuah trak tentera di hadapan Kem 96 Depot Pangkalan Peluru, Masjid Tanah Alor Gajah, awal pagi Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.24 pagi itu, Manisya Azlin Ishak, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala manakala pemandu lori tentera, lelaki berusia 33 tahun mengalami patah tangan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintenden Azrul Mohamed berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu wanita berkenaan dari arah Ayer Keroh dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Masjid Tanah.
“Mangsa yang bekerja di bahagian pusat panggilan Telekom di Ayer Keroh dipercayai mengantuk lalu memasuki laluan bertentangan.
“Akibatnya, kereta dipandu mangsa bertembung dengan kenderaan berat itu dari arah hadapan yang cuba brek berdasarkan kesan tayar sepanjang 12 meter di laluannya.
“Rempuhan itu menyebabkan mangsa yang seorang diri ketika kejadian tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Jelasnya, mayat mangsa dihantar ke Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat selepas berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Alor Gajah.
Sementara itu, pemandu lori tentera yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut manakala empat lagi anggota tentera lain yang berada dalam trak tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Semua kenderaan yang terlibat dalam nahas itu ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi pemeriksaan teknikal.
“Polis juga sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambah beliau.