Hyundai mengumumkan kerjasama dengan TVS Motor Company sekaligus memperlihatkan konsep mobiliti tiga roda bagi menggantikan peranan tuk-tuk (rickshaw) klasik.
Direka sebagai salah satu penyelesaian bagi pasaran perbatuan terakhir di India, Electric Three-Wheeler Concept ini mengekalkan imej rickshaw klasik, namun dengan suntikan elemen rekaan yang lebih moden seperti lampu LED serta rekaan muka depan yang lebih tajam.
Selain itu, model konsep ini juga bakal menampilkan teknologi cat hitam yang mampu mengurangkan kesan haba, serta penggunaan bahan kalis air untuk kemasan ruang dalam untuk memastikan ia kekal selesa sepanjang tahun.
Menurut Hyundai, jarak kelegaan tanah rickshaw ini boleh dilaras ketinggiannya supaya ia dapat menempuh lokasi yang terjejas akibat banjir dan sebagainya.
Selain model tiga roda, terdapat juga versi empat roda dan empat pintu yang mengekalkan ciri-ciri yang terdapat pada model tiga roda, namun ia ditambah dengan satu lagi tempat duduk ekstra di hadapan.
Setakat ini, perincian unit rangkaian kuasa tuk-tuk elektrik ini masih belum didedahkan.
Namun, Hyundai berhasrat untuk membina model 3-roda ini dengan kerjasama TVS di India, manakala model 4-roda pula akan diperluaskan untuk pasaran global sekiranya diluluskan.