Permintaan terhadap kenderaan berharga di bawah RM100,000 dijangka terus menjadi tumpuan tahun ini, diterajui oleh jenama nasional serta beberapa model daripada pengeluar Jepun.
Penganalisis CIMB Securities, Mohd Shanaz Noor Azam, berkata pada 2024, dianggarkan sekurang-kurangnya 75 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia terdiri daripada model bawah RM100,000, dengan jenama nasional menguasai lebih 80 peratus bahagian pasaran segmen ini, manakala jenama Jepun dan China membentuk baki 20 peratus.
“Permintaan ini dijangka terus stabil pada 2025, disokong oleh pembeli kali pertama, kenaikan gaji penjawat awam pada Disember 2024, serta kadar faedah yang kekal kondusif oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Ahli ekonomi turut meramalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang stabil bagi 2025.
“Di samping itu, kerajaan dalam Belanjawan 2025 telah merancang untuk mengekalkan subsidi bahan api bagi 85 peratus pengguna RON95, yang akan membantu mengekalkan kemampuan pembelian dalam segmen pasaran massa.
“Susulan itu, jenama nasional dijangka mengekalkan dominasi pasaran dengan pegangan 64.5 peratus berbanding 35.5 peratus untuk jenama bukan nasional pada 2025,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Mohd Shanaz, berkata pemansuhan subsidi petrol RON95 berpotensi mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik (BEV) pada tahun ini.
“Sime Darby berada dalam kedudukan terbaik untuk meraih manfaat berikutan portfolio EV yang semakin berkembang, termasuk jenama seperti BMW, Mini, Porsche, BYD dan Volvo.
“Bagaimanapun, persaingan dalam segmen EV dijangka terus meningkat, terutamanya daripada jenama China. Pengecualian cukai untuk model EV import dijadual tamat pada 2026, yang berkemungkinan memberi keutamaan kepada pemasangan tempatan selepas tempoh tersebut,” katanya.