Laman Sinar Harian semalam (2 Februari) melaporkan pihak polis Terengganu berjaya membongkar kegiatan penyeludupan Yamaha RX-Z susulan penahanan seorang lelaki di Kampung Padang Luas, Jertih, Sabtu lalu.
Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, kegiatan tersebut terbongkar hasil pemeriksaan ke atas sebuah rumah yang diubah menjadi bengkel kenderaan di kampung berkenaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas bengkel yang turut disaksikan oleh suspek menemukan 11 buah motosikal jenis Yamaha RX-Z, empat casis dan enam komponen enjin motosikal jenis tidak pasti.
“Kita percaya kesemua barangan tersebut dibawa masuk dari Thailand tanpa dokumen sah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, suspek berusia 41 tahun berasal dari Jertih yang mengaku sebagai pemilik rumah itu telah ditahan pada hari sama.
“Suspek didapati mempunyai tiga rekod jenayah di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 61 (1) LLPK (Langkah-Langkah Pencegahan Khas).
“Hasil siasatan mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat manakala ujian saringan air kencing dijalankan ke atasnya adalah negatif,” ujarnya.
Dalam Op Mega Lejang Terengganu yang dijalankan 1 hingga 31 Januari lalu, sebanyak 14 buah premis telah diperiksa melibatkan 30 motosikal pelbagai jenama.
ARTIKEL LAIN
Sanggup berhabis hampir setengah juta, pemuda ini ada lebih 25 buah Yamaha RX-Z