Sebuah Volkswagen Golf yang tersadai lebih setahun di kawasan parkir sementara di Lapangan Terbang Berlin Brandenburg mencatatkan caj parkir terkumpul mencecah nilai GBP170,000 (RM940,000).
Menurut laporan Simple Flying, kereta tersebut sudah dialihkan pada 28 Januari yang lalu, namun sehingga kini pemilik atau pemandu Golf tersebut masih belum dikenalpasti.
Menurut semakan di laman web rasmi lapangan terbang tersebut, tiada sebarang caj dikenakan untuk tempoh 10 minit pertama.
Namun, selepas itu pemilik akan dicaj sebanyak GBP8.96 (RM49.56) untuk 30 minit, GBP18.73 (RM103.60) setiap jam, dan GBP449.58 (RM2,487) per hari.
Petak parkir tersebut tidak memerlukan tiket memandangkan ia menggunakan sistem pengecaman nombor pendaftaran kenderaan secara automatik.
Terdapat spekulasi kemungkinan kereta itu dicuri berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan tersebut yang tidak selari dengan rekod yang mana ia sebenarnya didaftarkan di Hanover, bandar keempat terbesar di utara Jerman selepas Berlin, Hamburg dan Bremen.
Lebih mengejutkan apabila pihak berkuasa termasuklah pengurusan petak parkir, polis tempatan dan pejabat daerah tempatan tidak mahu bertanggungjawab biarpun telah dimaklumkan tentang kewujudan kereta yang ditinggalkan itu.